AS janji kurangkan tentera di Iraq

WASHINGTON, 12 JUN – Amerika Syarikat (AS) berjanji semalam akan mengurangkan bilangan anggota tenteranya di Iraq dalam beberapa bulan akan datang selepas mengadakan perbincangan dengan Baghdad.

“Kedua-dua negara menyedari berdasarkan kemajuan yang signifikan untuk menghapuskan ancaman ISIS, AS akan mengurangkan kekuatannya di Iraq dalam beberapa bulan akan datang,” kata pernyataan bersama, tanpa menjelaskan jumlah tentera yang akan terbabit.

AS menegaskan bahawa negara itu tidak mencari atau meminta pangkalan tetap atau kehadiran tetap tentera di Iraq.

Sebagai balasannya, Iraq berjanji untuk melindungi pangkalan yang menempatkan tentera AS selepas beberapa siri serangan roket didakwa dilakukan kumpulan pro Iran.

Kedua-dua negara pada Khamis mengadakan dialog strategik pertama dalam tempoh lebih satu dekad, beberapa bulan selepas penggubal undang-undang Iraq menuntut supaya pasukan AS menarik diri susulan serangan dron AS di Baghdad yang membunuh seorang jeneral tertinggi dari Iran. – AFP