AS, Jerman jalin kerjasama promosi tenaga bersih

BERLIN, 27 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Jerman menandatangani satu perjanjian hari ini mempererat kerjasama mereka untuk beralih daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dalam usaha untuk mengawal perubahan iklim.

Perjanjian itu akan menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama untuk membangunkan teknologi yang akan mempercepat peralihan kepada penggunaan tenaga bersih, terutamanya dalam bidang kuasa angin luar pesisir, kenderaan pelepasan karbon sifar dan hidrogen.

AS dan Jerman juga berjanji akan bekerjasama untuk mempromosi dasar iklim dan keselamatan tenaga di seluruh dunia.

Duta iklim AS, John Kerry berkata kedua-dua negara berhasrat memperoleh manfaat apabila beralih kepada penggunaan tenaga bersih, menerusi pewujudan pekerjaan baharu dan peluang perniagaan dalam pasaran membangun untuk tenaga boleh diperbaharui.

Pegawai kedua-dua negara akan bekerjasama untuk mencapai dasar umum untuk memastikan hidrogen yang dihasilkan boleh dijual di antara kedua-dua negara.

Menteri tenaga dan iklim Jerman, Robert Habeck, berkata perjanjian itu mencerminkan kepentingan dalam mengatasi isu pemanasan global. Ahli sains telah berkata pengurangan pelepasan gas perlu berlaku di seluruh dunia pada dekad ini sekiranya ingin mencapai matlamat yang ditetapkan dalam perjanjian iklim Paris 2015.

“Masa sudah kesuntukan,” kata Habeck, menganggap masalah perubahan iklim ‘cabaran politik generasi ini.’

Perjanjian AS-Jerman itu dimeterai pada mesyuarat menteri-menteri tenaga dan iklim dari negara-negara kaya Kumpulan Tujuh.

Kumpulan tersebut dijangka mengumumkan beberapa siri komitmen baharu pada lewat hari ini untuk mengatasi isu perubahan iklim, termasuk sasaran untuk menghapuskan pembakaran arang batu secara beransur-ansur dan beralih kepada penggunaan elektrik serta menambah sokongan kewangan kepada negara-negara miskin yang terjejas akibat pemanasan global. – AP

Robert Habeck (kanan) dan John Kerry berjabat tangan selepas menandatangani perjanjian untuk menubuhkan perkongsian tenaga dan iklim Jerman-AS pada mesyuarat Menteri G7 untuk Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar di Berlin, Jerman kelmarin. – AP