WASHINGTON, 22 MAC – Amerika Syarikat (AS) mengecam tindakan sebuah mahkamah di Moscow yang melabel laman sosial Facebook dan Instagram serta syarikat induk Meta sebagai “pelampau” selepas gergasi media AS itu membenarkan pengguna platform berkenaan mengutuk ahli politik dan tentera Rusia susulan konflik di Ukraine, lapor Sputnik.
“Kami mengecam keputusan mahkamah Moscow untuk melabel Meta, termasuk Facebook dan Instagram, sebagai “pelampau”.
“Serangan terhadap platform ini mesti dihentikan,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price melalui akaun Twitter kelmarin.
Mahkamah daerah Tverskoy Moscow kelmarin memutuskan untuk mengharamkan Facebook dan Instagram dalam bahasa Rusia kerana bersifat ekstrim.
Keputusan mahkamah itu dijadualkan berkuat kuasa serta-merta.
Pada masa sama, larangan itu dikenakan ke atas semua aplikasi Meta tidak termasuk WhatsApp. – Bernama