WASHINGTON, 27 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Jumaat beliau telah mencapai satu perjanjian untuk mengekalkan operasi syarikat telekom China ZTE, membatalkan beberapa penalti sebagai tukaran kepada jaminan keselamatan, satu tindakan yang menimbulkan kemarahan Demokrat dan beberapa orang dalam partinya sendiri.
Berita tersebut muncul tatkala AS bersedia untuk menghantar perwakilan perniagaan kembali ke Beijing pada minggu depan untuk meneruskan rundingan yang bertujuan meredakan perbalahan perniagaan yang serius dengan China, selepas negara tersebut saling mengugut di antara satu sama lain mengenai import.
Dalam satu tweet petang Jumaat, presiden AS memuji rancangannya sementara mengecam Demokrat serta pentadbiran Barack Obama, yang dikatakan beliau ‘membenarkan syarikat telefon ZTE berkembang tanpa pemeriksaan keselamatan.’
“Saya menutup dan membiarkannya dibuka semula dengan jaminan keselamatan, perubahan pengurusan dan lembaga, mesti membeli alat ganti AS dan membayar denda AS$1.3 bilion. Demokrat tidak melakukan apa-apa…”
Dalam satu tweet susulan, beliau menggelar ‘Perjanjian Perdagangan’ yang dicapai oleh Demokrat ‘bahan tertawa dunia!’

Akhbar The New York Times telah melaporkan sebelumnya mengenai satu perjanjian dengan ZTE China yang akan membatalkan sekatan yang dikenakan ke atas syarikat itu.
Syarat-syarat perjanjian adalah selaras dengan syarat-syarat yang digambarkan oleh Presiden AS Donald Trump dan Setiausaha Perdagangan Eilbur Rose pada awal minggu ini sebagai cara untuk firma melepaskan pengharaman eksport yang hampir menutup operasinya.
Ia menimbulkan reaksi keras dalam kalangan sesetengah anggota Kongres, tatkala penggubal undang-undang mengkritik pentadbiran kerana memberi isyarat ia mungkin mengurangkan tekanan ke atas sebuah syarikat yang mencabul sekatan AS ke atas Iran dan Korea Utara dan berkali-kali berdusta kepada pegawai AS.
Demokrat Nancy Pelosi, Pemimpin Dewan Minoriti, mengecam perjanjian Trump sebagai ‘pembelotan rakyat Amerika.’
ZTE didenda AS$1.2 bilion pada Mac 2017, tetapi pada bulan lalu Washington mengharamkan penjualan komponen AS kepada syarikat itu setelah mendapati ia berdusta beberapa kali dan gagal mengambil tindakan ke atas pekerja yang bertanggungjawab terhadap pencabulan sekatan. – AFP