AS keluar daripada Perjanjian Iklim Paris

NEW YORK, 5 NOV – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu  (PBB) mengesahkan pihaknya telah menerima pemakluman rasmi mengenai hasrat Amerika Syarikat (AS) untuk menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris, lapor agensi berita Sputnik.

“Kami telah menerimanya dan mengesahkan perkara itu,” kata jurucakap PBB Farhan Haq kelmarin.

Terdahulu semalam, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata Washington secara rasmi telah memaklumkan kepada PBB, akan keluar daripada kesepakatan itu pada 2020.

Menurut Artikel 28 perjanjian itu, sesebuah negara boleh keluar daripada perjanjian mulai 4 November 2020, dengan syarat memaklumkan secara rasmi kepada PBB setahun lebih awal.

Hasrat itu diumumkan Presiden Donald Trump pada 2017.

Perjanjian iklim yang ditandatangani di Paris pada tahun 2015 itu, bertujuan mengekalkan kenaikan suhu global di bawah dua darjah Celsius (3.6 darjah Fahrenheit) oleh kerajaan yang melakukan pengurangan pelepasan gas rumah hijau. – Bernama