AS keluarkan 50 juta tong minyak simpanan

WASHINGTON, 24 NOV – Presiden Joe Biden mengarahkan untuk mengeluarkan 50 juta tong minyak mentah dari simpanan strategik Amerika Syarikat (AS), bertujuan untuk mengurangkan kos gasolin dan lainnya, sejajar dengan negara-negara pengguna tenaga utama termasuk India, United Kingdom dan China.

Tindakan AS adalah menumpukan untuk membantu negara menangani harga minyak yang tinggi dan harga lainnya menjelang Thanksgiving dan perjalanan cuti musim sejuk. Harga gasolin adalah kira-kira AS$3.4 satu galon, lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, menurut Persekutuan Automobil AS.

“Bagaimanapun, tindakan kami ini tidak akan menyelesaikan masalah kenaikan harga gas dengan sekelip mata, ia akan membuat perbezaan,” Biden berjanji dalam ucapannya di Rumah Putih.

“Ia akan mengambil masa, namun awda akan melihat penurunan harga semasa mengisi minyak.”

Kerajaan akan mula memindahkan minyak mentah ke pasaran pada pertengahan atau penghujung Disember. Gasolin kebiasaannya memberikan respons lebih perlahan kepada perubahan harga minyak dan pegawai pentadbiran menyatakan ia adalah salah satu daripada usaha untuk mengurangkan kos.

Harga minyak turun dalam beberapa hari menjelang pengumuman penarikan, petanda bahawa para pelabur menjangkakan langkah yang mungkin membawa kepada 70 juta hingga 80 juta tong minyak mentah ke pasaran global. Namun selepas diumumkan, harga melambung kira-kira dua peratus berbanding menurun.

Pasaran menjangkakan berita tersebut, dan pedagang mungkin merasa kecewa apabila mereka melihat butirannya, kata Claudio Galimberti, timbalan kanan presiden bagi pasaran minyak di Rystad Energy.

Tidak lama selepas pengumuman dibuat AS, India berkata ia akan mengeluarkan lima juta tong minyak daripada simpanannya.

Kerajaan Britain mengesahkan ia akan mengeluarkan 1.5 juta tong dari tempat simpanannya. Manakala Jepun dan Korea Selatan turut mengambil langkah sama dan pegawai AS berkata ia adalah pengeluaran bersama terbesar dari simpanan strategik global. – AP

Presiden Joe Biden semasa mengumumkan mengenai pengeluaran minyak mentah dari simpanan strategik, di Rumah Putih. Keputusan tersebut adalah untuk menurunkan kos tenaga yang meningkat. – AP