AS keluarkan amaran perjalanan ke Venezuela

WASHINGTON, 30 Jan – Amerika Syarikat (AS) kelmarin telah meningkatkan amaran perjalanan bagi Venezuela ke peringkat paling tinggi dan menasihati pelancong agar mengelak melakukan perjalanan ke negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Jabatan Negara AS.

Amaran perjalanan yang dipertingkat itu, kini di Tahap 4, menggantikan nasihat perjalanan yang dikeluarkan minggu lepas apabila Washington mengarahkan kakitangan kerajaan AS yang tidak penting dan anggota keluarga mereka agar meninggalkan Venezuela.

“Jangan pergi ke Venezuela kerana terdapat jenayah, kekacauan awam dan infrastruktur kesihatan yang buruk selain penahanan serta penangkapan sewenang-wenangnya warganegara AS,” kata Jabatan Negara.

Jabatan itu berkata kerajaan AS mempunyai keupayaan yang terhad untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada warganegara AS di negara tersebut.

Menurut jabatan berkenaan, jika pelancong masih berhasrat untuk ke Venezuela, mereka hendaklah mengelak demonstrasi atau melakukan perjalanan antara bandar pada waktu malam. – Bernama