AS kembali kuat kuasa sekatan Iran

WASHINGTON, 20 SEPT – Amerika Syarikat (AS) sebulat suara mengisytiharkan semalam bahawa sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran sudah kembali berkuat kuasa dan berjanji akan menghukum mereka yang melanggarnya, dalam tindakan yang dikatakan oleh negara lain, termasuk sekutunya, sebagai kekurangan asas perundangan.

Sekatan yang bergelar ‘snapback’ – diumumkan pada bulan lalu – juga menerima kecaman dari Tehran, yang menggesa seluruh dunia supaya bersatu untuk menentang ‘tindakan sewenang-wenang’ AS.

“Hari ini, AS mengalu-alu kepulangan sekatan PBB yang dibatalkan sebelumnya ke atas Republik Islam Iran,” kata Setiausaha Negara Mike Pompeo dalam satu kenyataan.

Beliau berkata langkah tersebut kembali berkuat kuasa mulai pukul 8 malam waktu Washington hari ini.

Pentadbiran Trump juga berjanji akan ‘mengenakan hukuman’ ke atas mana-mana negara anggota PBB yang tidak mematuhi langkah tersebut.

Gambar fail menunjukkan Mike Pompeo bercakap semasa sidang media bersama Perdana Menteri Slovenia selepas mesyuarat mereka di Bled, Alps Julian. Amerika Syarikat mengumumkan sekatan PBB ke atas Iran kembali berkuat kuasa pada 19 September 2020. – AFP

Sekatan yang dipertikaikan itu dibatalkan pada 2015 apabila Iran menandatangani satu perjanjian antarabangsa tidak akan membangunkan senjata nuklear.

Namun Presiden Donald Trump menarik diri dari perjanjian itu pada 2018, berkata perjanjian, dirunding oleh pemimpin sebelumnya Barack Obama, adalah tidak mencukupi. Beliau seterusnya memperbaharui dan memperkukuh sekatan Washington sendiri.

Buat masa sekarang, AS menegaskan ia masih peserta dalam perjanjian yang ditarik diri oleh mereka, tetapi hanya supaya ia boleh mengaktifkan opsyen ‘snapback’, yang diumumkannya pada 20 Ogos.

Hampir semua anggota Majlis Keselamatan mempertikaikan keupayaan Washington untuk melaksanakan perubahan haluan ini, dan majlis belum lagi meluluskan langkah tersebut.

Pompeo telah berjanji dalam pengumumannya bahawa tindakan akan diumumkan pada hari-hari akan datang ke atas ‘negara yang melanggar’ sekatan. – AFP