AS kembali serta majlis hak asasi manusia

NEW YORK,15 OKT – Amerika Syarikat (AS) kelmarin dipilih menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas menarik diri pada Jun 2018.

Dalam undian di Perhimpunan Agung PBB, AS dipilih bersama 17 buah negara lain untuk penggal tiga tahun mulai 1 Januari 2022, lapor Xinhua.

AS di bawah pentadbiran Donald Trump menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Geneva pada Jun 2018, menuduh majlis itu sebagai “pertubuhan yang hipokrit dan mementingkan diri” dan bersikap berat sebelah terhadap Israel. Kerusi AS kemudian diduduki Iceland selepas satu pemilihan dibuat.

Selepas Joe Biden menjadi Presiden, Washington pada Februari 2021 menyatakan ia akan menyertai semula majlis itu sebagai pemerhati. Setiausaha Negara, Antony Blinken dalam satu kenyataan berkata AS menarik diri pada 2018 “tidak memberikan sebarang perubahan bermakna, sebaliknya me-wujudkan satu kelompong tanpa kepimpinan AS”.

Dalam pemilihan pada Khamis melalui undi rahsia, AS memperoleh 168 daripada 193 undi. Dalam kumpulan serantau yang sama, Finland dan Luxembourg masing-masing memperoleh 180 undi. Daripada semua 18 calon, AS mendapat jumlah undi kedua terendah, di hadapan Eritrea, yang menerima 144 undi.

Sebanyak 18 buah negara yang dipilih ialah Benin, Cameroon, Eritrea, Gambia, Somalia (kumpulan Afrika); India, Kazakhstan, Malaysia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (kumpulan Asia-Pasifik); Lithuania, Montenegro (kumpulan Eropah Timur); Argentina, Honduras, Paraguay (kumpulan Amerika Latin dan Caribbean); Finland, Luxembourg, AS (kumpulan Eropah Barat dan negara-negara lain). – Bernama