AS kemuka draf resolusi

NEW YORK, 10 Feb – Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan satu draf resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menggesa bagi penghantaran bantuan antarabangsa dan undian presiden di Venezuela, mencetuskan satu cadangan balas Rusia.

Sementara masih belum ada tarikh undian bagi draf AS itu, dan perundingan masih berterusan, Rusia kemungkinan besar menggunakan kuasa vetonya bagi menghalangnya sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap rejim Nicolas Maduro, menurut para diplomat.

Teks itu, satu salinan diterima oleh AFP, mengekspresikan sokongan penuh bagi Perhimpunan Kebangsaan kerana ia merupakan satu-satunya institusi terpilih secara demokrasi di Venezuela.

Pengerusi badan perundangan, Juan Guaido, telah mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venezuela, mencabar pemerintahan Maduro.

Draf resolusi itu menekankan ‘kebimbangan mendalam mengenai keganasan dan penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan Venezuela ke atas para pembantah secara aman dan tidak bersenjata’.

Ia juga menggesa bagi proses politik yang segera bagi pilihan raya yang bebas, adil dan diperakui, dengan pemerhatian antarabangsa, sejajar dengan perlembagaan Venezuela.

Teks itu juga meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ‘mengerahkan pejabatnya’ untuk mendapatkan pilihan raya seperti itu.

Ia juga menekankan keperluan bagi menghalang kemeroso-tan situasi kemanusiaan di Venezuela dan memudahkan kemasukan serta penghantaran bantuan ke semua kawasan Venezuela.

Moscow turut mengemukakan resolusi alternatif bagi yang dikemukakan oleh AS, menurut para diplomat.

Ia mengekspresikan kebimbangan’ mengenai ancaman untuk menggunakan kekerasan ke atas integriti dan politik kemerdekaan Venezuela’, menurut draf yang dilihat oleh AFP. – AFP