AS kenakan sekatan baharu ke atas Rusia

WASHINGTON, 9 Ogos – Amerika Syarikat (AS) berkata semalam ia sedang mengenakan sekatan baharu ke atas Rusia berhubung penglibatan Moscow dalam penggunaan ejen saraf ‘yang membawa maut’ dalam percubaan membunuh seorang bekas pengintip di Britain.

Jabatan negara itu berkata sekatan tersebut adalah tindak balas terhadap penggunaan ejen saraf ‘Novichok’ dalam percubaan untuk membunuh rakyat United Kingdom, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia pada Mac lalu.

Tindakan tersebut bertujuan menghukum kerajaan Presiden Vladimir Putin kerana ‘menggunakan senjata bahan kimia atau biologi yang menyalahi undang-undang antarabangsa,’ kata jurucakap jabatan negara itu, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

Sekatan baharu akan berkuatkuasa selepas tempoh pemberitahuan Kongres 15 hari, katanya.

Seorang lagi pegawai kanan jabatan negara memberitahu wartawan bahawa pentadbiran telah memutuskan untuk mengenakan ‘andaian penafian’ untuk penjualan teknologi AS ‘yang amat sensitif kepada keselamatan negara’ yang memerlukan kelulusan kerajaan persekutuan kepada Rusia.

Gambar fail pada 6 Julai 2018 menunjukkan jentera bomba dan van kecemasan diletakkan di luar kediaman mangsa ejen saraf di Amesbury, selatan England, di mana polis melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemui tidak sedarkan diri. AS semalam mengatakan akan mengenakan sekatan baharu ke atas Rusia berhubung penggunaan ejen saraf. – AFP

Teknologi sedemikian sering digunakan dalam barangan termasuk peranti elektronik serta peralatan tentukuran. Eksport itu dibenarkan sebelum ini berdasarkan kes individu.

Tindakan tersebut mungkin memutuskan eksport bernilai ratusan juta dolar ke Rusia, kata pegawai, yang meminta namanya tidak disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap mengenai sekatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Ed Royce, yang telah mendesak Trump beberapa bulan lalu supaya mengambil tindakan ke atas penggunaan senjata yang diharamkan oleh Rusia, memuji tindakan tersebut sebagai ‘kunci untuk menambah tekanan ke atas Rusia.’

“Vladimir Putin mesti tahu bahawa kami tidak akan menerima perbuatannya, atau serangan berterusannya ke atas proses demokratik kami,” kata Royce.

Penepian sekatan sudah ditetapkan untuk sektor tertentu, termasuk aktiviti penerbangan ruang angkasa lepas dan keselamatan penerbangan komersial, kata pegawai. – AFP