AS kenakan sekatan ke atas syarikat permata Myanmar

WASHINGTON, 9 APRIL – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengenakan sekatan ke atas perusahaan permata Myanmar untuk menyekat sumber pendapatan utama negara itu, lapor Sputnik.

“Hari ini, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS kenakan sekatan ke atas Myanma Gems Enterprise (MGE), entiti yang bertanggungjawab untuk semua aktiviti perniagaan batu permata di Burma (Myanmar),” kata Jabatan Perbendaharaan dalam satu kenyataan kelmarin.

“Rejim tentera Burma (Myanmar) secara kejam menindas penunjuk perasaan pro-demokrasi di negara itu dan menyebabkan banyak korban termasuk kanak-kanak.”

“Tindakan hari ini menunjukkan komitmen Perbendaharaan untuk menyekat sumber pembiayaan tentera Burma, termasuk syarikat utama milik kerajaan di seluruh Burma,” kata pengarah OFAC Andrea Gacki.

Berikutan itu, semua harta dan kepentingan entiti yang ada di AS atau dalam pemilikan atau kawalan orang AS disekat dan mesti dilaporkan kepada OFAC.

Di samping itu, mana-mana entiti yang dimiliki, secara langsung atau tidak langsung, 50 peratus atau lebih oleh satu atau lebih orang juga akan dikenakan sekatan.

“Sekatan itu tidak ditujukan kepada rakyat Burma,” kata jabatan itu. – Bernama