SEOUL, 18 Sept – Pesawat dan kapal perang Amerika Syarikat akan menjalankan latihan bersama dengan tentera Korea Selatan bulan depan di tengah kemelut geopolitik yang semakin memuncak di Semenanjung Korea, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut laporan Kementerian Pertahanan Seoul yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Keselamatan Parlimen pada Isnin, tentera Korea Selatan akan mengambil langkah berkesan untuk menentang ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, pesawat pengebom AS B-1B akan dihantar ke Semenanjung Korea lewat bulan ini termasuk kapal perang USS Ronald Reagan dan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan, AS dan Jepun akan dilaksanakan hingga awal Oktober.
Selain itu, Seoul akan meneruskan usaha memperkukuhkan sistem keselamatan yang lain termasuk sistem pertahanan peluru berpandu tempatan serta meningkatkan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan sekatan dan tekanan terhadap Pyongyang.
Laporan itu dikemukakan berikutan pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana Hwasong-12 yang dilancarkan Korea Utara pada Jumaat.
Sebelum itu, Pyongyang pada 3 September melancarkan bom hidrogen yang dimuatkan bersama peluru berpandu balistik rentas benua. – Bernama