WASHINGTON, 22 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam isu perdagangan dan rantaian bekalan, umum Jabatan Perdagangan AS semalam.
Menurut kenyataan, penubuhan Dialog Rantaian Bekalan dan Komersial AS-Korea akan ‘menjalin kolaborasi yang lebih baik dan memperkukuh daya saing antarabangsa industri AS dan Korea.’
Pengumuman itu, yang tidak memberikan butir-butir mengenai skop kerja kumpulan baharu itu, keluar selepas mesyuarat di antara eksekutif tertinggi kedua-dua negara dan dipimpin oleh Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo dan rakan sejawatan Korea, Lee Chang-Yang.
Delegasi AS sedang mengiringi Presiden Joe Biden dalam lawatan lima hari beliau ke Korea dan Jepun dengan tujuan memulihkan semula perkongsian ekonomi AS-Asia yang terjejas di bawah pentadbiran bekas presiden Donald Trump.
Kenyataan AS berkata kedua-dua negara mengiktiraf bahawa kerjasama lebih erat mengenai ‘semikonduktor, kenderaan elektrik dan bateri untuk kenderaan elektrik, sel bahan api dan teknologi solar, serta ekonomi digital akan terus memacu kemakmuran ekonomi bersama serta mengubah masyarakat kami.’
Kira-kira 75 peratus daripada cip semikonduktor dunia dihasilkan di Asia Timur, dan isu rantaian bekalan, diburukkan oleh pandemik COVID, telah mengakibatkan kekurangan teruk yang menjejas pembeli utama termasuk industri kereta AS.
AS dan Korea Selatan adalah rakan perniagaan dan pelaburan yang penting. Korea adalah rakan perniagaan AS keenam terbesar, dan AS pula adalah sumber kedua terbesar pelaburan langsung asing di Korea.
Eksekutif perniagaan Korea yang mengambil bahagian dalam mesyuarat semalam termasuk pemimpin Kumpulan Hyundai Motor, Kumpulan Lotte, LG, OCI, Samsung dan Kumpulan SK manakala wakil syarikat AS termasuk Applied Materials, Bloom Energy, GM Korea, Google, Lam Research, Qualcomm dan GE. – AFP
