Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS, Korea U bertambah tegang

    PYONGYANG, Korea Utara, 14 April – Timbalan Menteri Luar Korea Utara hari ini menyalahkan Presiden Donald Trump kerana menambah lagi ketegangan di Semenanjung Korea melalui Twitter dan perluasan latihan ketenteraan, dengan berkata Amerika Syarikat (AS) menjadi ‘lebih kejam dan lebih agresif’ di bawah kepimpinan beliau daripada ketika AS di bawah kepimpinan Presiden Barack Obama.

    Dalam temu bual eksklusif dengan The Associated Press di Pyongyang, Timbalan Menteri Han Song Ryol juga memberi amaran AS tentang memprovokasi ketenteraan Korea Utara.

    “Kami akan berperang jika mereka memilihnya,” ujarnya.

    “Kini kami membandingkan dasar Trump terhadap DPRK dengan pentadbiran sebelumnya dan kami membuat kesimpulan bahawa ia menjadi lebih kejam dan lebih agresif,” kata Han, dengan me-rujuk Korea Utara dengan nama rasminya, Republik Korea Rakyat Demokratik.

    “Apa saja yang datang daripada ahli-ahli politik AS, jika kata-kata mereka adalah untuk menggulingkan sistem dan kerajaan DPRK, kami akan menolak dengan sekeras-kerasnya,” katanya lagi.

    Bercakap menerusi seorang jurubahasa yang disediakan oleh kementerian luar, Han tenang dan sopan tetapi bersemangat dan tegas sepanjang temu bual selama 40 minit.

    Ketegangan semakin mendalam apabila AS menghantar sebuah pengangkut pesawat udara ke perairan di semenanjung dan mengadakan latihan ketenteraan bersama yang terbesarnya dengan Korea Selatan.

    Pyongyang sementara itu telah melancarkan peluru berpandu balistik baru-baru ini dan beberapa orang pakar berkata ia mungkin mengadakan satu lagi ujian hampir-hampir pada bila-bila masa.

    “Itu adalah sesuatu yang diputuskan oleh ibu pejabat kami,” kata Han tentang ujian nuklear keenam Korea Utara.

    “Pada masa dan tempat yang difikirkan wajar oleh ibu pejabat, ia akan diadakan.”

    Berhubung prospek-prospek peperangan, Han berkata “Jika AS datang dengan tindakan melulu ketenteraan maka kami akan mendepaninya dengan serangan terlebih dahulu DPRK.

    “Kami telah pun memiliki pencegah nuklear yang bertenaga dan kami pasti tidak akan berdiam diri di tengah serangan awal AS.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda