Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    AS lancar ‘SERVIR-Southeast Asia’ untuk tangani perubahan iklim

    BANGKOK, 24 JAN – Amerika Syarikat (AS) hari ini melancarkan program SERVIR-Southeast Asia (Asia Tenggara) untuk membantu komuniti di seluruh rantau ini menangani perubahan iklim.

    Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama antara Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) bertujuan membantu komuniti di Asia Tenggara menyesuaikan diri dengan isu iklim serantau dan rentas sempadan serta mengurangkan kesan perubahan iklim.

    Duta AS ke Thailand, Robert F. Godec berkata program baharu itu memperluaskan fokus SERVIR di Asia Tenggara dalam aspek geografi dan memperdalam penglibatan dengan institusi serantau untuk mempercepatkan daya tahan iklim.

    “SERVIR-Southeast Asia akan membantu memastikan komuniti dan perniagaan di seluruh Thailand dan di seluruh ASEAN bukan sahaja dapat berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim malah berjaya mendepani cabaran itu,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Kedutaan dan Konsulat AS di Thailand.

    Godec dan Pengarah Bahagian Sains Bumi di NASA, Dr Karen M. St. Germain melancarkan program itu di muzium angkasa lepas pertama Thailand, Space Inspirium.

    SERVIR-Southeast Asia ialah satu daripada lima hab global di bawah SERVIR.

    Program ini dibina berdasarkan kejayaan SERVIR-Mekong dalam menggunakan teknologi satelit untuk menyokong institusi serantau, kerajaan dan komuniti menangani cabaran berkaitan iklim termasuk kesiapsiagaan dan tindak balas bencana, keselamatan makanan, sumber air dan pengurusan tanah serta pencemaran udara. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...