AS lantik lima pertubuhan media sebagai misi asing

WASHINGTON, 19 FEB – Amerika Syarikat (AS) melantik lima pertubuhan media negara China  sebagai misi asing, memetik seorang pegawai Jabatan Negara semalam, lapor agensi berita Anadolu.

Pertubuhan media itu termasuk Agensi Berita Xinhua, Rangkaian Televisyen Global China, Radio Antarabangsa China, China Daily Distribution Corporation dan Hai Tian Development USA.

“Setiap entiti itu memenuhi definisi misi asing di bawah Akta Perwakilian Asing kita. Sebab itu kita akan menganggap mereka sebagai misi asing,” kata pegawai itu.

Pertubuhan itu dikehendaki memaklumkan kepada Pejabat Perwakilan Luar Negara di Jabatan Negara mengenai maklumat kakitangan yang bertugas di AS.

Pertubuhan berkenaan juga perlu memaklumkan mengenai petugas yang akan pulang dan baru tiba – syarat wajib untuk kedutaan atau konsulat.

Lima pertubuhan itu turut tertakluk kepada kawalan kerajaan China. – Bernama