AS lulus bantuan AS$550J

WASHINGTON, 8 Nov – Amerika Syarikat semalam mengumumkan bantuan berjumlah AS$550 juta kepada Senegal untuk membantu negara yang berkembang pesat itu untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi elektrik.

Korporasi Cabaran Milenium, badan kerajaan AS yang ditubuhkan pada tahun 2004 yang memberikan geran kepada negara yang menjalankan pentadbiran dan demokrasi yang baik, berkata Senegal sendiri akan menyumbang AS$50 juta kepada projek itu.

Dalam tempoh lima tahun, projek bergelar Senegal Power Compact akan berusaha untuk memodenkan rangkaian penyiaran voltan-tinggi di ibu negara Dakar, memperkukuh grid untuk membawa lebih banyak bekalan elektrik ke kawasan luar bandar dan menyokong penulisan rangka kerja perundangan yang lebih kukuh untuk menyelia bagaimana elektrik diagih.

“Kompak ini bertujuan merangsang pelaburan sektor swasta, menambah pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan dengan mempertingkatkan sektor tenaga Senegal, mengurangkan kos dan menambah akses kepada elektrik oleh penduduk dan perniagaan,” kata Jonathan Nash, ketua pegawai operasi Korporasi Cabaran Milenium dalam satu kenyataan.

Dengan pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus, Senegal mempunyai salah satu ekonomi yang berkembang paling pesat di Afrika.

Sementara Presiden Donald Trump telah berjanji akan mengurangkan bantuan asing oleh AS, Korporasi Cabaran Milenium, ditubuhkan di bawah presiden George W. Bush, memperoleh bantuan dwipartisan di Washington sebahagiannya disebabkan desakan yang meminta penerima mengamalkan prinsip pasaran bebas.

Pakej AS$540 juta sebelum ini untuk Senegal yang diluluskan pada 2009 untuk merangsang produktiviti pertanian mencetuskan kontroversi di Dakar, dengan presiden Abdoulaye Wade berkata beliau berasa sakit hati dengan andaian bahawa semua negara penerima menghadapi masalah rasuah. – AFP