AS lulus dos penggalak Pfizer

WASHINGTON, 23 SEPT – Amerika Syarikat (AS) kelmarin telah meluluskan penggunaan dos penggalak vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk penduduk berusia 65 tahun ke atas, kumpulan dewasa dengan komorbiditi dan pekerja berisiko tinggi.

Pengumuman itu, sekali gus membolehkan puluhan juta rakyat AS mendapat suntikan dos ketiga iaitu enam bulan selepas menerima dos kedua.

“Tindakan hari ini menunjukkan sains dan data yang ada sekarang terus dijadikan panduan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk memutuskan sebarang keputusan bagi vaksin COVID-19 dalam tempoh pandemik ini,” kata pemangku Pesuruhjaya FDA, Janet Woodcock.

Keputusan itu sudah dijangka dan dibuat selepas panel pakar bebas yang dipanggil oleh badan pengawal selia minggu lalu, memilih untuk melaksanakan langkah berkenaan.

Bagaimanapun, panel itu, menolak rancangan awal Rumah Putih untuk meluluskan sepenuhnya dos penggalak Pfizer kepada semua orang yang berusia 16 tahun ke atas, yang bererti satu kritikan kepada pentadbiran Presiden Joe Biden.

Kumpulan yang terdiri daripada pakar vaksin, penyelidik penyakit berjangkit dan ahli epidemiologi merumuskan keseimbangan di antara risiko dan manfaat penggunaan vaksin berkenaan berbeza untuk orang muda, terutama remaja lelaki yang berisiko untuk dijangkiti miokarditis.

Ketika ini, penggunaan dos penggalak keluaran Pfizer menimbulkan perdebatan beberapa badan pakar di bawah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), yang mengesyorkan maklumat lebih lanjut mengenai kategori penerimanya.

Sebagai contoh, sekiranya obesiti menyebabkan individu itu tergolong dalam kumpulan berisiko, ia bermakna 42 peratus populasi AS berusia 20 tahun layak untuk diberikan dos penggalak.

CDC juga perlu membuat keputusan mengenai tempat kerja dan aturan lain yang mungkin menyebabkan ‘institusi atau pekerjaan yang kerap terdedah SARS-CoV-2.’

FDA turut menyenaraikan, pekerja kesihatan, guru, kakitangan jagaan harian, pekerja runcit dan mereka yang berada di tempat perlindungan atau penjara tanpa tempat tinggal sebagai penerima dos penggalak. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 11 Mac menunjukkan seorang lelaki memakai pelitup muka berjalan melintasi ibu pejabat Pfizer di New York. – AFP