AS lulus pakej rangsangan AS$900 bilion

WASHINGTON, 21 DIS – Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS), semalam mencapai persetujuan untuk meluluskan pakej bantuan COVID-19, menjangkau nilai keseluruhan AS$900 bilion.

Pakej itu dijangka merangkumi pembiayaan pengagihan dan logistik vaksin, bantuan tambahan mingguan untuk penganggur sebanyak AS$300 serta dana rangsangan AS$600.

Ketua Senat Republikan, Mitch McConnell, menerusi kenyataan berkata pakej yang dipersetujui itu akan mengandungi dasar khusus, demi membantu golongan sasar dalam kalangan rakyat AS.

Speaker Dewan Demokratik, Nancy Pelosi dan Ketua Senat Minoriti, Chuck Schumer, turut mengesahkan bahawa satu persetujuan dicapai bersama Ahli Republikan serta Rumah Putih.

“Perundangan ini akan diluluskan secepat mungkin supaya ia dapat segera dikemukakan kepada Senat dan sampai ke meja Presiden untuk ditandatangani.

“Dengan keadaan pandemik dan jangkitan positif harian serta kematian yang semakin meruncing, kita tiada masa untuk dibazirkan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Perjanjian itu adalah bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat AS, sekali gus berupaya menyelamatkan aspek kehidupan dan nyawa, tatkala pandemik COVID-19 masih meruncing.

Kongres semalam merintis usaha bertungkus-lumus untuk memeterai persetujuan bersama, mencakupi penyaluran bantuan kepada isi rumah di AS, syarikat dan Belanjawan Persekutuan 2021, bagi mengelak risiko penutupan kerajaan. Ahli Demokrat kanan di Dewan Perwakilan, Steny Hoyer, menjangkakan rundingan mengenai penyaluran bantuan itu akan diluluskan hari ini dan dikemukakan ke peringkat Senat.

Perjanjian terbaharu itu dijangka berupaya mengekalkan kemampuan bank pusat untuk menubuhkan pelaksanaan program kecemasan tanpa ‘restu’ kongres. – AFP

Speaker Dewan Nancy Pelosi bercakap semasa sidang media di Capitol Hill pada 20 Disember di Washington. – AFP