WASHINGTON, 18 APRIL – Kekurangan cip komputer global telah menjadikannya sukar untuk pengguna mendapatkan kereta, komputer dan keperluan moden lain, maka Kongres berusaha merangsang pengeluaran cip dan penyelidikan di Amerika Syarikat dengan dana berbilion dolar daripada kerajaan persekutuan.
Dewan Perwakilan dan Senat telah meluluskan perundangan utama mengenai perkara ini dan usaha merupakan peluang terakhir penggubal undang-undang sebelum pilihan raya pada November untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa mereka sedang mengatasi masalah rantaian bekalan negara.
Kini mereka perlu menyelesaikan perbezaan dalam kedua-dua rang undang-undang. Republikan telah pun berbincang sebelum rundingan bermula secara formal.
Rang undang-undang memperuntukkan lebih daripada AS$52 bilion untuk pengeluaran dan penyelidikan semikonduktor. Gran dan pinjaman daripada kerajaan persekutuan akan memberikan subsidi sesetengah kos pembinaan atau mengubah suai kilang semikonduktor.
“Pembiayaan cip membentuk asas rang undang-undang ini,” kata Josh Teitelbaum, penasihat kanan di Akin Gump, firma guaman. “Saya fikir ia akan mendorongnya mencapai penyelesaian.”
Rang Senat menyediakan AS$29 bilion dalam tempoh lima tahun untuk menumpu pada pengukuhan kepimpinan AS dalam bidang kecerdasan buatan, semikonduktor, robotik dan teknologi canggih lain.
Manakala rang Dewan memperuntukkan AS$13.3 bilion dalam tempoh lima tahun untuk penyelesaian sains dan kejuruteraan. Ia menyenaraikan perubahan iklim, kemapanan alam sekitar dan ketidaksamaan sosial serta ekonomi sebagai tumpuan utama usaha berkenaan. – AP