As mahukan resolusi damai

DUBAI, 20 SEPT – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mahu penyelesaian damai berhubung krisis yang tercetus susulan serangan terhadap kemudahan minyak milik syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco di Abqaiq dan Khurais Sabtu lalu.

Perkara tersebut dinyatakan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo semalam selepas Iran menyuarakan amaran ‘perang habis-habisan’ sekiranya AS atau Arab Saudi melakukan serangan balas.

Pompeo menuduh Iran menjadi dalang di sebalik serangan di dua fasiliti minyak Arab Saudi itu yang menjejaskan lebih separuh pengeluaran minyak negara berkenaan.

Selepas mesyuarat bersama sekutu di Riyadh dan Abu Dhabi, Pompeo berkata, terdapat persetujuan bahawa Iran melakukan serangan meskipun dinafikan Teheran dan pemberontak Yemen mengaku bertanggungjawab. Pompeo bagaimanapun berkata, AS berhasrat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi konflik terbabit.

Sementara itu, gabungan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi berkata ia melancarkan operasi ketenteraan terhadap pemberontak Yaman yang dikaitkan dengan Teheran kelmarin sebagai serangan pertama sejak kemudahan industri minyaknya diserang.

Wakil Khas AS mengenai Iran, Brian Hook (belakang) mendengar Pompeo bercakap kepada pemberita sebelum berlepas meninggalkan Abu Dhabi, kelmarin. – AFP

Operasi di utara negara yang dilanda perang itu dilancarkan selepas dua kemudahan minyak di Saudi diserang hujung minggu lepas sehingga menjejaskan pengeluaran minyak kepada separuh, sekali gus menyebabkan ketegangan serantau.

Gabungan itu berkata operasinya memusnahkan empat tapak di utara bandar pelabuhan Hodeida yang digunakan oleh pemberontak untuk memasang bot dan periuk api kawalan jauh, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Saudi.

Ia menggambarkan tapak berkenaan sebagai ancaman kepada keselamatan maritim di laluan perkapalan penting Bab al-Mandeb dan selatan Laut Merah.

Beberapa jam sebelum mengumumkan operasi yang menjejaskan gencatan senjata di Hodeida, gabungan itu mendakwa mereka berjaya memintas sebuah ‘bot kawalan jauh dan bot jerangkap samar’ yang pemberontak gunakan untuk melakukan ‘tindakan keganasan di selatan Laut Merah’.

Gabungan itu juga berkata, bot tersebut berjaya dimusnahkan tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai sasaran.

Tidak ada maklum balas diterima daripada pemberontak.

Gabungan itu campur tangan dalam menyokong kerajaan Yaman pada 2015 apabila Presiden Abedrabbo Mansour Hadi melarikan diri ke Arab Saudi ketika pemberontak menguasai Aden. – AFP