AS mula pindahkan peralatan dari Syria

WASHINGTON, 11 Jan – Tentera Amerika Syarikat (AS) sedang memindahkan beberapa peralatan ketenteraan dari Syria, seorang pegawai tentera mengesahkan semalam, susulan arahan Presiden AS, Donald Trump.

“Saya boleh mengesahkan pemindahan peralatan dari Syria,” kata pegawai itu kepada AFP.

“Atas alasan keselamatan, saya tidak akan mendedahkan butiran lanjut ketika ini,” tambahnya.

Pemindahan peralatan sejak beberapa hari lalu sudah dilaporkan oleh Cable News Network (CNN), yang memetik kenyataan pegawai pendakwaan yang mempunyai pengetahuan langsung berhubung operasi itu dan ia memberi isyarat awal pengunduran tentera AS, Asia Barat.

Pengumuman mengejut Trump pada 19 Disember lalu mengenai penarikan kesemua 2,000 tentera Amerika dari negara-negara Timur Tengah yang diselubungi perang dan mendorong peletakan jawatan ketua pertahanannya, Jim Mattis.

Gambar fail pada 30 Disember 2018 menunjukkan kenderaan tentera AS berjalan di sebuah jalan raya di bandar Manbij, Syria. Tentera AS telah memindah peralatan mereka dari Syria, menurut seorang pegawai tentera Rabu lalu. – AFP

Bagaimanapun, kenyataan pegawai itu tidak menjelaskan mengenai barang dalam kargo itu atau bagaimana ia dipindahkan.

Mereka juga tidak mendedahkan dari bahagian Syria mana peralatan itu akan dibawa keluar, walaupun dijangka pengunduran itu bermula dari arah utara negara tersebut.

Laporan CNN juga mendedahkan pegawai itu terdahulu berkata, Pentagon memberi isyarat presiden sedang berusaha ke arah matlamat untuk melaksanakan keputusan beliau bulan lalu.

Katanya, walaupun pengunduran tentera tidak dilakukan serta-merta, pemindahan peralatan adalah satu cara untuk menunjukkan ke arah matlamat itu.

Pada hari Ahad, Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton menetapkan syarat yang ketat untuk pengunduran tentera yang dicadangkan, dengan mengatakan keselamatan pertahanan sekutu seharusnya terlebih dahulu dijamin. – AFP