AS naikkan kadar faedah tertinggi, kawal inflasi

WASHINGTON, 6 MEI – Simpanan Persekutuan semalam mengumumkan kenaikan kadar terbesar sejak 2000, dengan kenaikan sebanyak 50 mata asas ketika ia berusaha untuk memerangi inflasi yang meningkat tinggi di Amerika Syarikat (AS).

Dengan inflasi mencecah kadar tertinggi dalam empat dekad, Pengerusi Simpanan Persekutuan Jerome Powell menghantar pesanan kepada rakyat AS, meluahkan kebimbangan terhadap masalah yang dicetuskan oleh kenaikan harga, dan berjanji akan menggunakan segala kaedah yang ada untuk menurunkannya. Namun beliau memberitahu wartawan beliau tetap yakin ekonomi adalah cukup kukuh untuk mengatasi kenaikan kadar tanpa mengalami kemelesetan.

Selepas kenaikan satu perempat mata, penggubal dasar bank pusat AS Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menambah kadar faedah melebihi 0.75 peratus ketika ia berusaha memulihkan ekonomi, dan mengesahkan lebih banyak kenaikan ‘wajar dilaksanakan.’

Kenaikan akan menambah kos semua jenis pinjaman, daripada gadai janji kepada kad kredit kepada pinjaman kereta, mengurangkan permintaan dan aktiviti perniagaan. Inflasi telah menjadi isu membimbangkan selepas ekonomi terbesar dunia melihat harga pengguna tahunan meningkat 8.5 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Mac – lonjakan terbesar sejak Disember 1981.

Penggubal dasar percaya inflasi akan beransur-ansur kembali kepada sasaran dua peratus Persekutuan ketika ia menambah kos pinjaman, namun dalam satu kenyataan selepas berakhirnya mesyuarat dua hari, FOMC berkata ia akan ‘menumpu pada risiko inflasi.’

Matlamat Persekutuan adalah mengawal inflasi sementara mengelak penguncupan dalam aktiviti ekonomi, dan Powell berkata hasilnya boleh dicapai. – AFP

Peniaga bekerja di lantai Bursa Saham New York waktu perniagaan pagi di Bandar New York selepas Simpanan Persekutuan mengumumkan kenaikan kadar faedah untuk menurunkan inflasi. – AFP