AS pantau perkembangan virus Britain

WASHINGTON, 21 DIS – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memantau dengan terperinci jaringan virus baharu yang dikesan di United Kingdom (UK), kata sumber kesihatan kanan semalam sambil memberitahu, larangan penerbangan ke UK tidak dilaksanakan buat masa ini.

Laporan terbaharu itu muncul ketika panel pakar AS mencadangkan suntikan vaksin diberikan kepada individu berusia 75 ke atas, bersama 30 juta petugas kesihatan, termasuk guru, pekerja kedai dan polis.

Merujuk kepada jaringan virus baharu itu, Ketua Penasihat Program Vaksin Operasi Warp Speed, Moncef Slaoui memberitahu CNN bahawa mereka masih tidak menerima sebarang maklumat berhubung kewujudan virus berkenaan di AS.

“Kami masih memantau perkara ini dengan terperinci, termasuk di Institut Kesihatan Nasional serta Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS,” katanya.Buat masa ini jelas beliau, tiada petunjuk bahawa virus berkenaan kebal terhadap vaksin yang dibangunkan.

“Jenis yang wujud di UK ini saya rasa mustahil untuk terlepas daripada imuniti vaksin. Saya tak fikir kita patut bimbang buat masa ini,” kata Laksamana Brett Giroir, ketua pemantau COVID-19 ketika ditanya mengenai virus terbabit dalam wawancara bersama The Week.

Ditanya sama ada AS berkemungkinan mengikut jejak negara Eropah untuk menyekat penerbangan dari UK, Giroir berkata, beliau tidak fikir ia perlu dilaksanakan ketika ini. – AFP

Dr Moncef Slaoui, ketua penasihat kepada Operasi Warp Speed, bercakap di Rose Garden Rumah Putih di Washington. – AP