AS perlu tegas dengan Korea U – Engel

WASHINGTON, 13 NOV – Amerika Syarikat (AS) perlu bertindak lebih tegas dengan Korea Utara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri AS Eliot Engel semalam, lapor agensi berita Yonhap.

Beliau tidak percaya dengan mengadakan lagi pertemuan antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un akan membantu usaha pelucutan senjata nuklear oleh rejim itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan rundingan antara Washington dan Pyongyang terus menemui jalan buntu dan terhenti sejak sidang kemuncak antara Trump dan Kim di Vietnam pada Februari.

Korea Utara telah memberi amaran akan menunggu sehingga akhir tahun untuk AS mengemukakan syor yang boleh diterima.

“Saya tidak melihat Kim Jong Un benar-benar serius untuk berunding,” kata Engel.

“Saya secara peribadi berpendapat kita perlu berkeras dalam rundingan kita dengannya – negara mana yang paling terancam? Sudah tentu Korea Selatan,” ujarnya.

Engel berkata pemimpin Korea Utara itu tidak boleh dipercayai dan tiada apa yang telah dilakukannya untuk keamanan.

“Saya fikir perlu ada beberapa langkah dan perlindungan yang kukuh,” katanya sambil menambah bahawa kita tidak boleh padamkan pengetahuan Korea Utara untuk menghasilkan bom nuklear kerana mereka telah tahu kaedahnya.

“Presiden Trump telah bertemu dengan Kim dua kali, tetapi tidak membuahkan hasil, saya fikir tidak ada gunanya untuk bertemu dengannya sekali lagi, melainkan ada cara yang sangat positif untuk menghapuskan senjata nuklear mereka dan keupayaan mereka untuk menghasilkannya lagi,” katanya.

Trump dan Kim telah mengadakan tiga pertemuan sebelum ini, dengan yang pertama pada Jun 2018. – Bernama