Sunday, December 3, 2023
28.7 C
Brunei

    -

    AS pertimbang wujud mata wang digital

    WASHINGTON, 16 SEPT – Pentadbiran Biden bakal membangunkan mata wang digital bank pusat, dikenali sebagai digital dolar, mengumumkan ia akan membantu memperkukuhkan peranan Amerika Syarikat (AS) sebagai pemimpin dalam sistem kewangan dunia.

    Menurut Rumah Putih hari ini, Presiden Joe Biden telah meluluskan perintah eksekutif pada Mac dan menggesa pelbagai agensi untuk mengkaji cara mengawal aset digital.

    Agensi-agensi kemudian mengemukakan sembilan laporan, merangkumi kesan mata wang kripto ke atas pasaran kewangan, alam sekitar, inovasi dan elemen sistem ekonomi lain.

    Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen berkata satu cadangan yang dibentangkan Perbendaharaan adalah ‘AS memajukan dasar dan usaha teknikal ke arah mata wang digital bank pusat, atau CBDC, supaya AS bersiap sedia jika CBDC menjadi isu kepentingan negara’.

    ”Buat masa sekarang, beberapa aspek sistem bayaran semasa kami adalah terlalu perlahan atau terlalu mahal,” beritahu Yellen kepada wartawan.

    Mata wang digital bank pusat adalah berbeza dengan wang digital sekarang yang boleh diperoleh oleh orang awam, seperti baki dalam akaun bank, disebabkan mereka akan menjadi lialibiliti kepada Rizab Persekutuan, bukannya bank komersial. Menurut kumpulan pemikir Majlis Atlantik, 105 negara mewakili lebih daripada 95 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global telah pun menimbang atau telah mewujudkan mata wang digital bank pusat. Majlis mendapati AS dan UK jauh ketinggalan di belakang dalam mewujudkan dolar digital atau mata wang yang setara dengannya.

    Jabatan Perbendaharaan, Keadilan, Biro Perlindungan Kewangan Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti dan Tukaran dan agensi lain ditugaskan menyumbang kepada laporan yang akan mengatasi pelbagai isu mengenai risiko, pembangunan dan penggunaan aset digital.

    Beberapa laporan akan disiarkan dalam beberapa minggu atau bulan akan datang. – AP

    Janet Yellen semasa bercakap di Bangunan Persekutuan IRS New Carrolton di Lanham, Maryland, AS, pada 15 September. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pengiraan undi bermula di 4 negeri India menjelang PRU 2024

    NEW DELHI, 3 DIS - Pengiraan undi bermula hari ini di empat negeri India dalam menguji kekuatan pembangkang India yang menentang parti pemerintah Perdana...