AS peruntuk AS$14 bilion pampasan untuk petani

DES MOINES, IOWA, 20 SEPT – Kerajaan persekutuan berkata semalam bahawa ia akan memberikan petani peruntukan tambahan berjumlah AS$14 bilion untuk membayar pampasan kepada mereka atas kesukaran menjual tanaman, susu dan daging disebabkan pandemik koronavirus.

Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan butir-butir pelannya yang dikatakannya akan ‘menyediakan bantuan yang memberikan pengeluar keupayaan untuk menyerap kos pemasaran meningkat yang dikaitkan dengan pandemik COVID-19.’

Presiden Donald Trump pertama menyebut bantuan tersebut dalam ucapan pada malam Khamis di Wisconsin, negeri kempen presiden yang dianggap penting untuk peluangnya memenangi penggal kedua.

Bayaran tambahan itu menggambarkan kepentingan petani sebagai blok mengundi kepada pemilihan semula Trump. Beliau berjanji akan membuat pindaan kepada peraturan perniagaan serta potongan cukai.

Pandemik koronavirus telah menimbulkan beberapa masalah kepada petani.

Kekurangan pekerja telah mengurangkan penghasilan tanaman dan haiwan ternakan serta kapasiti pemprosesan di kilang pembungkusan daging dan kilang lain. Masalah berkenaan telah menyebabkan harga yang diterima oleh petani untuk komoditi merosot teruk.

Kumpulan pertanian mengalu-alu wang tambahan tersebut, kebanyakannya akan datang dalam bayaran langsung untuk tanaman yang memenuhi had kemerosotan harga yang ditetapkan. Ia termasuklah jagung, kacang soya, gandum dan beberapa jenis kapas.

Ayam, telur, susu, daging lembu dan kambing juga termasuk, begitu juga tembakau, bulu haiwan, alfalfa, bijirin oat, kacang tanah, beras dan hem.

Petani boleh memulakan pendaftaran untuk mendapatkan wang tersebut pada Isnin. – AP

Gambar fail menunjukkan ladang jagung di depan kincir angin lama di Pasific Junction, Iowa. Kerajaan AS memperuntukkan AS$14 bilion tambahan kepada petani sebagai pampasan atas kesukaran menjual tanaman mereka akibat COVID-19. – AP