AS rampas dadah bernilai AS$1.4 bilion

MIAMI, 6 OGOS – Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan rampasan dadah jenis kokain dan ganja bernilai AS$1.4 bilion menerusi beberapa operasi.

Komander Kawasan Atlantik, Laksamana Madya Steve Poulin, berkata ia adalah rampasan terbesar dadah dalam sejarah pasukan Pengawal Pantai AS.

“Dadah yang dirampas termasuk hampir 27 tan kokain dan 650 kilogram ganja,” katanya pada sidang media di Port Everglades, Florida.

Kapten Todd Vance pula berkata, rampasan berkenaan dilakukan pelbagai unit pasukan Pengawal Pantai AS dengan sokongan Tentera Laut Kanada dan bantuan udara pasukan Pengawal Sempadan AS.

“Usaha bersepadu semua anggota pasukan ini memberi tamparan hebat kepada sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

“Kita berjaya menggugat kestabilan rangkaian pengedaran dadah d Amerika Tengah dan sempadan selatan AS,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, jumlah rampasan dadah kali ini adalah lebih dua kali ganda berbanding keseluruhan rampasan dadah oleh pihak berkuasa AS pada tahun lalu. – AFP