AS rampas produk dibuat daripada rambut manusia

WASHINGTON, 2 JULAI – Pegawai kastam Amerika Syarikat (AS) berkata semalam mereka telah merampas satu hantaran produk diperbuat daripada rambut manusia yang dipercayai dikeluarkan oleh penduduk Muslim di kem buruh di barat rantau Xinjiang, China.

Mereka adalah sebahagian daripada hantaran 13 tan bernilai AS$800,000 dari Lop County Meixin Hair Product Co. Kastam dan Perlindungan Sempadan AS pada 17 Jun mengarahkan barangan syarikat ditahan berdasarkan sebab-sebab ia menggunakan pekerja penjara dan pekerja paksaan, termasuk kanak-kanak.

“Pengeluaran barangan berkenaan merupakan pencabulan hak asasi manusia amat serius,” kata Brenda Smith, penolong pesuruhjaya eksekutif untuk perdagangan di CBP. “Arahan penahanan bertujuan menghantar mesej yang jelas kepada semua entiti yang ingin menjalankan perniagaan dengan Amerika Syarikat bahawa amalan haram dan tidak berperikemanusiaan tidak diterima dalam rantaian bekalan AS.”

Lop County Meixin adalah pengeksport rambut manusia ketiga di Xinjiang – biasanya digunakan dalam tenunan dan pemanjangan – yang dise-naraikan dalam beberapa bulan ini kerana menggunakan pekerja paksa. Pengumuman itu keluar tatkala jabatan Negara AS, Perdagangan, Perbendaharaan dan Keselamatan Dalam Negeri mengingatkan perniagaan AS supaya berhati-hati mengimport barangan menerusi rantaian bekalan yang membabitkan pekerja paksa atau penjara di Xinjiang dan tempat lain di China. – AFP