SAN PEDRO SULA, HONDURAS, 3 JULAI – Amerika Syarikat (AS) menewaskan Honduras 3-0 pada separuh akhir Kejohanan Bawah 20 Tahun CONCACAF pada Jumaat lalu bagi mengesahkan satu tempat dalam kejohanan bola sepak Olimpik Paris 2024.
Republik Dominican turut berjaya menempah tiket ke Paris setelah menewaskan Guatemala 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas keputusan terikat seri 2-2.
Bagi Republik Dominican, ia akan menjadi penampilan pertama mereka di Sukan Olimpik, manakala AS akan kembali ke pertandingan itu buat kali pertama sejak 2008.
AS mengawal permainan pada awal minit perlawanan, dengan jaringan Paxten Aaronson pada minit ketiga, Alejandro Alvarado pada minit ke-22 dan Quinn Sullivan pada minit ke-43 memberikan mereka pendahuluan dan kemenangan selesa 3-0.
Sementara itu, pada separuh akhir pertama antara Dominican dan Guatemala, Guatemala mendahului 2-0 dengan jaringan Arquimides Ordonez pada minit ke-23 dan gol sendiri daripada pemain pertahanan Dominican, Sebastian Manon pada minit ke-29.
Republik Dominican menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit pada separuh masa kedua apabila Guillermo De Pena menjaringkan gol pada minit ke-62 dan Edison Azcona menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-64.
Selepas kedua-dua buah pasukan tidak berhasil menemui penyudah melalui masa tambahan, perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti di mana Adhonys Maria memberikan jaringan kemenangan bagi Republik Dominican. – AFP