AS sambut baik kerajaan perpaduan Haiti

KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Pembentukan kerajaan sementara di Haiti adalah satu langkah positif untuk memenuhi keperluan rakyat Haiti dan memulihkan institusi demokrasi negara itu, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J. Blinken.

Blinken berkata AS menyambut baik usaha kepemimpinan politik Haiti untuk bersatu memilih perdana menteri sementara dan menubuhkan kerajaan perpaduan selepas pembunuhan kejam Presiden Jovenel Moïse.

“AS bersama-sama masyarakat antarabangsa, mendesak pemimpin politik dan pemimpin masyarakat Haiti agar terus bekerjasama demi memenuhi kehendak rakyat dan meletakkan asas untuk kestabilan dan kemakmuran jangka panjang.

“Kami tetap komited menyokong siasatan kes pembunuhan Jovenel Moïse oleh kerajaan Haiti, usaha memperluas vaksinasi COVID-19 dan bekerjasama dengan polis Haiti untuk keamanan dan kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan media Jabatan Luar Negeri AS.

Haiti melantik Perdana Menteri baharu, Ariel Henry, kurang dua minggu selepas pembunuhan Moise.

Pada Selasa, Henry mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis di Port-au-Prince. Pada hari sama, satu upacara memperingati Moïse turut diadakan.

Timbalan Perdana Menteri, Claude Joseph, awal minggu ini menyatakan beliau akan mengundurkan diri ‘demi kebaikan negara’ selepas sekumpulan diplomat antarabangsa pada Sabtu menyuarakan sokongan terhadap Henry. – Bernama