AS saran semak semua pembelian telekom

BEIJING, 27 NOV – Jabatan Perdagangan telah mencadangkan langkah mewajibkan kelulusan semua pembelian peralatan telekomunikasi dalam satu tindakan yang mungkin menjejas pembekal utama China seperti Huawei.

Cadangan yang dikeluarkan semalam menyusuli perintah Presiden Donald Trump pada Mei yang mengisytiharkan keadaan darurat dan mengehad pembelian peralatan telekom oleh syarikat Amerika Syarikat (AS) yang mungkin dianggap satu ancaman keselamatan.

Perintah itu tidak menamakan syarikat atau negara khusus namun dipercayai ia menyasarkan pembekal China seperti Huawei Technologies dan ZTE Corp. Ia memberikan Jabatan Perdagangan 150 hari untuk mengemukakan peraturan yang dikeluarkan pada minggu ini.

Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross berkata dalam satu kenyataan bahawa peraturan yang dicadangkan ‘menunjukkan komitmen kami untuk melindungi ekonomi digital, sementara juga menunaikan komitmen Presiden Trump terhadap infrastruktur digital kami.”

Keputusan mengenai urus niaga akan digunakan berdasarkan ‘kes’ dan merujuk kepada penilaian oleh Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri dan Pengarah Risikan Negara.

Kementerian Perdagangan China tidak membalas satu permohonan meminta komen.

Kerajaan AS menyenaraihitam Huawei pada Mei, mewajibkan syarikat AS mendapatkan kelulusan kerajaan untuk jualan kepada syarikat tersebut. – AP

Gambar fail bertarikh 6 Mac menunjukkan kakitangan bekerja di kilang pengeluaran telefon bimbit ketika satu kunjungan media di kilang Huawei di Dongguan, wilayah Guangdong, China. – AP