AS sedia hadapi taufan Sally

NEW ORLEANS, 16 SEPT – Taufan Sally dijangka membadai Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS) awal hari ini dengan membawa hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat, menurut amaran kaji cuaca.

Pusat Hurikan Kebangsaan (NHC) berkata kawasan pantai di Alabama, Mississippi dan Florida akan dilanda ribut dengan angin bertiup pada kelajuan maksimum kira-kira 140 kilometer sejam pada pukul 10 waktu tempatan.

“Banjir yang boleh mengancam nyawa besar kemungkinan berlaku di bahagian utara pantai Teluk,” pusat yang berpangkalan di Miami mengingatkan dan menambah taufan akan membawa sehingga 20 inci hujan yang turun di beberapa buah kawasan.

“Sally dijangka akan menjadi taufan berbahaya apabila ia bergerak ke darat,” menurut ahli kaji cuaca.

Kira-kira 75,000 buah rumah di Alabama dan Florida terputus bekalan elektrik sejak malam kelmarin, menurut Weather Channel, dan video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan beberapa kawasan mula dibanjiri.

Pada 0300GMT, Sally bergerak kira-kira 65 batu ke selatan Mobile, Alabama dan menuju utara dengan kelajuan yang semakin berkurangan dengan dua batu sejam di Teluk Mexico, walaupun ribut dijangka meningkat lagi hari ini.

Sally adalah satu daripada lima ribut taufan Lautan Atlantik – fenomena yang hanya dicatatkan sekali sebelum ini, pada September 1971, menurut ahli kaji cuaca.

Gabenor Alabama, Kay Ivey memberi amaran kepada penduduk meskipun ribut telah lemah, ‘taufan Sally tidak patut dipandang remeh’. – AFP

Jalan raya dibanjiri air selepas hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Sally melanda teluk pantai Amerika Syarikat awal kelmarin. – AP