AS sekat barangan import dari China

WASHINGTON, 15 SEPT – Amerika Syarikat (AS) hari ini mengenakan sekatan import ke atas beberapa barangan tertentu dari wilayah Xinjiang, China, lapor agensi Anadolu.

Sekatan itu dikenakan kerana AS mendakwa barangan itu dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa di kem pendidikan semula Uighur, Beijing.

Barang-barang itu temasuk kapas, alat ganti komputer, pakaian dan produk penjagaan rambut, menurut Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS.

“Tindakan itu menggambarkan DHS menentang aktiviti buruh paksa yang tidak sah dan tidak berperikemanusiaan,” kata Pemangku Timbalan Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Ken Cuccinelli dalam satu kenyataan.

Mulai sekarang, CBP akan merampas mana-mana barang berkenaan jika didapati berada di pasaran AS.

Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata sekatan itu ‘menunjukkan dunia membantah pelanggaran hak asasi manusia’ China terhadap kaum Uighur dan minoriti Muslim lain di Xinjiang.

Pada Julai, AS menyenarai hitam pegawai kerajaan China serta sebuah organisasi separa tentera kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kekerasan terhadap kumpulan Turki Muslim di Beijing.

Wilayah Xinjiang didiami kira-kira 10 juta etnik Uighur.

Kumpulan itu mewakili sekitar 45 peratus populasi Xinjiang, sejak sekian lama menuduh pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi. – Bernama