AS sekat jualan teknologi kepada China

WASHINGTON, 27 SEPT – Washington telah mengarahkan syarikat Amerika Syarikat (AS) supaya mendapatkan kebenaran sebelum menjual teknologi mereka kepada syarikat semikonduktor China SMIC, tindakan terbaharu dalam persaingan penguasaan teknologi ke atas Beijing, lapor Wall Street Journal semalam.

Jabatan Perdagangan ‘telah memberitahu syarikat komputer-cip AS bahawa mereka mesti mendapatkan lesen sebelum mengeksport teknologi tertentu kepada pengeluar semikonduktor terbesar China,’ menurut akhbar perniagaan itu.

Peraturan baharu itu diumumkan dalam sepucuk surat kepada industri pada Jumaat, yang berkata ‘eksport ke syarikat Semiconductor Manufacturing International Corp atau subsidiarinya berdepan risiko digunakan untuk aktiviti tentera China,’ menurut laporan.

Akhbar itu berkata pentadbiran Presiden AS Donald Trump ‘semakin bimbang mengenai amalan Beijing yang bergantung kepada syarikat swasta untuk mencapai cita-cita tenteranya.’

Jabatan Perdagangan enggan memberi komen mengenai isu itu, tetapi seorang jurucakap di Biro Industri dan Keselamatan berkata mereka ‘sentiasa memantau dan menilai mana-mana ancaman yang berpotensi timbul ke atas keselamatan negara dan kepentingan dasar asing AS’ dan ‘akan mengambil tindakan wajar.’

Laporan keluar tatkala Rumah Putih berkata ia tidak akan menarik diri daripada pelan untuk mengharamkan aktiviti muat turun TikTok baharu, disebabkan ia mengancam keselamatan negara, justeru mencetuskan persemukaan di mahkamah sebelum tarikh akhir hari ini.

China dan AS telah bertahun-tahun bersaing untuk menguasai dalam bidang teknologi.

SMIC merupakan kunci kepada cita-cita Beijing untuk mencapai status mampu diri untuk semikonduktor. Penganalisis berkata kebergantungan China pada cip asing, termasuk buatan AS, menghindar matlamat tersebut. – AFP