AS sekat pengeluar minyak Venezuela

WASHINGTON, 29 Jan – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan ke atas syarikat minyak Venezuela semalam dalam usaha bersepadu dengan pemimpin pembangkang utama untuk melumpuhkan kuasa Presiden Nicolas Maduro.

Langkah ke atas syarikat milik kerajaan, PDVSA itu dilakukan sebagai satu cara untuk menghalang pemimpin berhaluan kiri itu daripada merampas dana negara di negaranya sebelum beliau diganti oleh lelaki yang dikatakan oleh Washington merupakan presiden sementara yang sesuai, pemimpin pembangkang Juan Guaido.

“Tujuan sekatan adalah untuk mengubah tingkah laku,” beritahu Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin kepada wartawan di Rumah Putih.

“Maka apabila terdapatnya pengiktirafan bahawa syarikat ialah harta milik pemimpin yang sah, pemerintah sah, maka wang berkenaan akan diberikan kepada Guaido.”

Guaido, yang mengetuai badan perundangan Perhimpunan Agung dan telah menamakan dirinya pemangku presiden, mengeluarkan kenyataannya sendiri, berkata beliau sedang ‘mengawal aset republik mereka di luar negara’ untuk menghalang Maduro daripada berusaha untuk ‘mengosongkan dana negara’.

Mnuchin menjawab soalan semasa satu sidang media di Bilik Mesyuarat Brady di Rumah Putih, Washington DC pada 28 Januari 2019. – AFP

Venezuela pernah menjadi kisah kejayaan Latin Amerika dan mempunyai simpanan minyak terbesar di dunia, tetapi telah menghadapi masalah ketika diperintah oleh pemimpin berhaluan kiri yang tidak bertolak ansur.

Dengan berjuta-juta penduduk kekurangan makanan dan sumber asas lain, timbulnya perasaan tidak puas hati. Bagaimanapun, setakat ini, Maduro telah mengekal sokongan angkatan bersenjata yang berpengaruh, serta sokongan daripada Rusia dan China.

Washington telah bertindak untuk menyingkir Maduro dengan mengiktiraf Guaido dan menyeru tentera supaya beralih kesetiaan.

Penasihat keselamatan negara Presiden Donald Trump, John Bolton, menggesa anggota keselamatan ‘supaya menerima pemindahan kuasa secara aman, demokratik dan berperlembagaan’.

“Kami telah melihat pegawai dan tentera Venezuela mematuhi seruan ini,” tambah beliau. – AFP