AS sekat pertukaran mata wang kripto

WASHINGTON, 22 SEPT – Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan bagi pertukaran mata wang digital kripto SUEX kerana didakwa mempunyai kaitan dengan tuntutan tebusan ‘ransomware’.

Tindakan pertama seumpamanya itu sejajar dengan usaha Washington untuk menghentikan serangan jenayah digital daripada terus berleluasa dengan memanfaatkan pertukaran mata wang kripto. Ia dilaksanakan selepas tekanan terhadap pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, semakin memuncak susulan beberapa penggodaman berprofil tinggi dan pencurian data menyasarkan syarikat antarabangsa terkemuka.

Serangan ke atas syarikat minyak utama AS, syarikat pembungkusan daging dan sistem e-mel Microsoft Exchange mengundang perhatian dunia terhadap kerapuhan infrastruktur digital negara itu ke atas cetak rompak digital. Jabatan Perbendaharaan AS, yang mengumumkan sekatan itu, tidak menyatakan sama ada SUEX terbabit dalam mana-mana jenayah itu tetapi memaklumkan 40 peratus sejarah transaksi yang diketahui dapat dikaitkan dengan ‘pelaku haram’.

“Beberapa pertukaran mata wang maya dieksploitasi oleh pelaku berniat jahat, seperti yang berlaku kepada SUEX, sekali gus memudahkan kegiatan haram untuk keuntungan peribadi,” kata Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan sama, ini adalah kali pertama sekatan seperti itu dilaksanakan terhadap pertukaran mata wang kripto.

Kesan daripada sekatan ini, mana-mana aset digital di bawah bidang kuasa AS kini disekat dan rakyat AS juga dilarang menggunakan SUEX. – AFP