Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    AS semakin pantas menua

    Gambar AP

    WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah menjadi lebih tua dengan pantas dalam dekad yang lalu.

    Golongan penduduk yang berumur 65 tahun ke atas meningkat lebih daripada sepertiga dari tahun 2010 hingga 2020, dan ini merupakan kadar pertumbuhan terpantas dalam sejarah 130 tahun negara itu. Sementara itu, golongan kanak-kanak pula berkurangan, menurut angka-angka terkini daripada bancian terbaharu.

    Pengurangan peratusan kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah sangat ketara dalam angka-angka bancian 2020 yang dikeluarkan pada 25 Mei lalu.

    Gabungan kedua-dua trend ini menyebabkan median umur di AS melonjak dari 37.2 kepada 38.8 dalam dekad tersebut.

    Dua kumpulan umur terbesar di AS mendorong perubahan ini: golongan baby boomer (penduduk yang lahir antara tahun 1946-1964) yang semakin berusia 65 tahun ke atas dan golongan milenial (penduduk lahir pada 1981-1996) yang telah menjadi dewasa atau memasuki usia 20an dan awal 30an.

    Gambar fail warga emas menaiki kart golf di Dataran Tasik Sumter Landing Market pada 12 Ogos 2021 di The Village, Mukim Sumter, Florida, kediaman komuniti persaraan yang pesat membangun. The Village mempunyai median usia tertinggi 68.5 peratus, manakala Utah adalah yang terendah 25.9 peratus.
    Lizzie Chimiugak merenung jauh di rumahnya di Toksook Bay, Alaska. Chimugak baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-90, menjadi orang pertama dikira dalam Biro Bancian AS.
    Gambar fail 8 April 2020 menunjukkan sebuah keluarga merakamkan gambar di di Taman Pusat Hortikultur Fairmount di Philadelphia. AS kini berdepan penduduk menua kerana lebih ramai wanita yang melengahkan hasrat berkeluarga.

    Selain itu, jumlah kelahiran kanak-kanak juga berkurangan antara tahun 2010 dan 2020, berdasarkan angka-angka daripada bancian setiap penduduk AS dalam setiap dekad.

    Penurunan ini disebabkan wanita yang melengahkan kelahiran anak hingga lebih lewat dalam hidup, dalam banyak kes untuk memberi tumpuan kepada pendidikan dan kerjaya, menurut pakar-pakar yang mencatatkan bahawa kadar kelahiran tidak pernah pulih selepas kemelesetan besar pada tahun 2007-2009.

    “Dalam jangka pendek, krisis keseimbangan kerja-keluarga, kekurangan penjagaan kanak-kanak yang berpatutan, tekanan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan, perumahan dan kestabilan pekerjaan, semuanya mengehadkan kadar kelahiran sekali gus meningkatkan ketidakpastian dan menjadikannya lebih sukar memutuskan untuk mempunyai dan membesarkan anak-anak,” kata Philip Cohen, seorang ahli sosiologi di Universiti Maryland.

    Terdapat natijah sosial dan ekonomi yang penting bagi populasi yang semakin tua, termasuk keupayaan orang berusia dewasa yang bekerja untuk menyokong golongan warga emas ini melalui sumbangan kepada Sekuriti Sosial dan Medicare. Biro Bancian AS mengira nisbah pergantungan, yang ditakrifkan sebagai jumlah kanak-kanak ditambah dengan jumlah warga tua berbanding 100 orang dewasa yang bekerja. Walaupun nisbah pergantungan telah berkurangan bagi golongan kanak-kanak dari tahun 2010 hingga 2020, ia meningkat bagi golongan warga tua sebanyak 6.8 orang.

    Pada kumpulan paling tua dalam spektrum umur, jumlah individu yang berusia lebih daripada 100 tahun meningkat hampir separuh, daripada lebih 53,000 orang kepada lebih daripada 80,000 orang. Sebahagian lelaki yang hidup sehingga usia tua juga meningkat.

    Buddy Lebman, lelaki berusia 98 tahun di St. Louis, berkata kunci kepada umur panjang adalah gen baik dan kekal aktif. Dia bermain daun terup dua kali seminggu, mengendalikan perbincangan mengenai perkembangan semasa pada komuniti persaraannya dan masih terlibat dengan gereja dan sekolah yang didirikan dengan bantuannya. Sehingga lima tahun yang lalu, dia turut melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal secara berkala.

    “Baru-baru ini saya memeriksa pemacu jantung saya dan doktor memberitahu saya ia baik untuk 4 setengah tahun lagi,” kata Lebman. “Jadi saya mesti hidup sekurang-kurangnya sehingga waktu itu.”

    Penduduk mencapai usia 100 tahun mendapat manfaat daripada 100 tahun perkembangan vaksin dan antibiotik, peningkatan dalam pembedahan dan rawatan penyakit yang lebih baik, kata Thomas Perls, profesor perubatan di Universiti Boston.

    “Lebih ramai orang yang mempunyai faktor genetik dan pendedahan alam sekitar yang baik, meningkatkan peluang seseorang untuk hidup hingga usia 100 tahun, tetapi sebelum ini, mereka mungkin meninggal dunia kerana masalah yang sekarang dapat dirawat dengan mudah,” kata Perls.

    Biro Bancian AS mengeluarkan dua set data awal daripada bancian 2020 pada tahun 2021: Angka populasi negeri digunakan untuk menentukan bilangan kerusi kongres yang diberikan kepada setiap negeri dan angka penempatan semula digunakan untuk menggambarkan daerah politik.

    Data yang dikeluarkan baru-baru ini ditangguhkan hampir dua tahun disebabkan kesukaran berkaitan pandemik dalam mengumpul maklumat dan usaha Biro Bancian AS untuk melaksanakan kaedah perlindungan privasi baharu yang kontroversi dengan menggunakan algoritma untuk menambahkan kesilapan disengajakan bagi menyembunyikan identiti responden.

    Ini adalah bancian pertama sejak Mahkamah Tinggi AS sejak 2015. Catatan menunjukkan bahawa lebih daripada separuh isi rumah di AS terdiri daripada pasangan yang tinggal bersama dan isi rumah pasangan sejenis mewakili 1.7 peratus daripada isi rumah tersebut.

    Median umur pula berbeza-beza mengikut kaum dan etnik. Orang kulit putih bukan Hispanik merupakan kumpulan yang paling tua, dengan median umur 44.5 tahun. Orang Hispanik merupakan yang paling muda, dengan median umur 30 tahun; dan seperempat daripada semua kanak-kanak di AS adalah orang Hispanik. Orang Amerika kulit hitam yang bukan Hispanik mempunyai median umur 35.5 tahun. Nombor median umur bagi orang Asia adalah 37.2.

    Utah, tempat kediaman populasi Mormon terbesar di AS, merupakan negeri yang paling muda, dengan median umur 31.3 tahun, disebabkan oleh kadar kelahiran tertinggi di negeri itu. Median umur di Daerah Columbia adalah 33.9, kedua terendah kerana terdapat ramai orang dewasa muda yang bekerja di kawasan bandar. North Dakota adalah satu-satunya negeri di mana median umur menurun, dari 37 kepada 35.8, kerana kedatangan pekerja muda untuk bekerja dalam sektor tenaga yang pesat berkembang.

    Maine merupakan negeri yang paling tua di AS, dengan median umur 45.1 tahun, kerana lebih banyak baby boomer yang sudah tidak bekerja. Puerto Rico mempunyai median umur dalam julat yang sama, iaitu 45.2 tahun, kerana ramai dewasa bekerja meninggalkan pulau itu selepas siri taufan dan pengurusan kerajaan yang tidak berkesan. Dewasa yang lebih tua di empat negeri – Florida, Maine, Vermont dan West Virginia – menyumbang kepada lebih daripada satu perlima daripada jumlah penduduk di negeri-negeri tersebut.

    Daerah Sumter, Florida, tempat komuniti persaraan yang pesat berkembang, The Villages, mempunyai median umur tertinggi di kalangan mukim-mukim di AS iaitu 68.5 tahun; sementara Daerah Utah, di Provo dan Universiti Brigham Young, mempunyai median umur terendah, iaitu 25.9 tahun.

    Sebagai salah seorang golongan baby boomer yang paling muda, Chris Stanley, 59, sudah tinggal di The Villages. Beliau berkata misinya dalam kehidupan pada kemudian hari ialah untuk memberitahu generasi muda bahawa mereka boleh mengubah keadaan walaupun mungkin tidak mempunyai peluang ekonomi yang sama seperti yang diperolehinya.

    “Saya ingin menarik perhatian mereka terhadap apa yang saya rasakan,” katanya. “Mereka boleh menjadikannya lebih baik,” tambahnya.

    Walaupun individu yang berusia 65 tahun ke atas menyumbang 16.8 peratus daripada 331 juta penduduk AS pada tahun 2020, golongan tersebut masih jauh lebih rendah berbanding negara-negara seperti Jepun, Itali dan Greece, di mana kumpulan umur ini menyumbang antara lebih daripada satu perlima dan lebih daripada satu perempat daripada populasi keseluruhan.

    Walau bagaimanapun, golongan ini dalam jumlah populasi AS akan terus berkembang susulan penuaan kumpulan baby boomer.

    “Dalam jangka panjang, penghijrahan adalah satu-satunya cara bagi Amerika Syarikat untuk mengelakkan kemerosotan populasi,” kata Cohen. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...