AS senarai hitam syarikat penerbangan Iran

WASHINGTON, 10 Julai – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas ejen jualan yang berpangkalan di Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan Iran Mahan Air, yang disenarai hitam Washington. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara itu, Perbendaharaan AS menyatakan, Mahan Travel and Tourism dikenakan tindakan kerana kegiatannya membolehkan operasi antarabangsa Mahan Air berjalan, terutama membabitkan ‘pelaksanaan transaksi kewangan bagi pihak penerbangan itu’.

Jelas kenyataan itu lagi, Mahan Air ditubuhkan pada Oktober 2011 bertujuan memberi sokongan kepada Pasukan Pengawal Revolusi Islam Al-Quds.

Menerusi langkah terbaharu jabatan itu, semua aset yang berada di AS akan dibekukan dan secara dasarnya melarang rakyatnya dari menjalankan perniagaan dengan syarikat tersebut, lapor agensi berita Xinhua. – Bernama

Gambar fail bertarikh 1 Mac 2015 menunjukkan sebuah pesawat Mahan Air mendarat di lapangan terbang antarabangsa Sanaa di Yaman. Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas ejen jualan yang berpangkalan di Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan itu. – AP