AS singkirkan Australia di separuh akhir

SAITAMA, 4 OGOS – Breanna Stewart menjaringkan 23 mata ketika Amerika Syarikat (AS) menewaskan Australia hari ini untuk mara ke pusingan separuh akhir acara bola keranjang wanita di Olimpik menentang Serbia dan semakin menghampiri kejuaraan ketujuh berturut-turut.

Brittney Griner menambah 15 mata dan A’ja Wilson menjaringkan 10 mata semasa kemenangan 79-55 menentang pasukan kedua terbaik dunia.

Mereka akan bertemu Serbia pada Jumaat selepas juara Eropah dan pemenang pingat gangsa di Rio tersebut berjaya menewaskan China 77-70.

Penganjur sukan, Jepun bertemu Belgium dan Perancis akan menentang Sepanyol dalam perlawanan lapan pasukan terakhir hari ini.

Ia tidak pernah menjadi mudah buat Australia untuk menewaskan AS, yang kini memenangi 53 perlawanan Olimpik berturut-turut.

Aksi pemain AS, Sue Bird semasa bertemu dengan Australia dalam peringkat separuh akhir bola keranjang wanita. – AP

Rekod mengagumkan tersebut berlarutan sejak 1992 semasa pertemuan penentuan pingat gangsa dan termasuk rekod enam perlawanan berturut-turut memenangi emas dan empat kemenangan di Tokyo.

Pasukan AS sangat dominan sehingga berjaya memenangi lapan daripada sembilan kejuaraan Olimpik, dengan satu-satunya kekalahan meraih pingat perak di belakang Kesatuan Soviet pada kejohanan julung kali pada 1976 dan pingat gangsa pada 1992.

Satu-satunya pasukan yang sentiasa hampir mencabar pasukan AS pada abad ini adalah Australia, yang bersaing tiga pingat emas menentang mereka.

Tetapi mereka tidak dilihat mampu bersaing di Arena Super Saitama.

Diketuai oleh bintang WNBA, Sue Bird, Diana Taurasi dan Sylvia Fowles, AS mengawal rentak dengan mencatat 15-0 semasa suku pertama yang menyaksikan Australia hanya meraih empat daripada 14 percubaan untuk mendapatkan mata.

Mereka jauh ketinggalan dengan keputusan 68-39 menuju penghujung perlawanan dan gagal untuk kembali bangkit. – AFP