AS sokong ujian pembezaan virus selesema Roche

ZURICH, 4 SEPT – Syarikat farmaseutikal gergasi Switzerland, Roche berkata hari ini bahawa mereka telah diberi kebenaran di Amerika Syarikat untuk penggunaan kecemasan ujian diagnostik bertujuan membezakan antara koronavirus dan influenza.

Di tengah-tengah kebimbangan musim selesema akan menjadi beban tambahan kepada sistem kesihatan, pihak berkuasa ingin melihat ujian yang dapat membezakan antara koronavirus dengan penyakit bermusim yang lain, seperti selesema.

Roche berkata ujian SARS-CoV-2 dan Influenza A/B telah mendapat Kebenaran Penggunaan Kecemasan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA)

Firma menambah ujian juga akan dilakukan di negara-negara Eropah di mana standard perakuan CE diterima.

“Dengan musim selesema yang semakin dekat, ujian baharu ini amat penting memandangkan jangkitan SARS-CoV-2 dan influenza sangat sukar untuk dibezakan berdasarkan gejala semata-mata,” kata Thomas Schinecker, CEO Roche Diagnostics.

“Sekarang, dengan satu ujian, pegawai penjagaan kesihatan boleh memberikan diagnosis yang tepat dengan yakin dan rawatan paling efektif untuk pesakitnya”. – AFP