AS sumbang 500 juta vaksin Pfizer

WASHINGTON, 10 JUN – Amerika Syarikat (AS) akan membeli 500 juta dos vaksin COVID-19 untuk diedarkan ke negara-negara miskin, kata Rumah Putih hari ini, sumbangan terbesar untuk ‘mempercepatkan’ usaha memerangi pandemik dengan kebanyakan negara di dunia masih lagi bergelut membendung koronavirus.

Langkah itu dibuat ketika tekanan ketidaksamarataan vaksin memuncak dalam kalangan negara-negara kaya yang memiliki lebih banyak bekalan awal dan di mana program imunisasi lebih pantas membolehkan kembali kepada kehidupan normal secara beransur-ansur, seperti makan di restoran di Perancis dan Belgium minggu ini.

AS juga berdepan kritikan kerana mempunyai simpanan besar vaksin tidak digunakan tetapi hanya lebih 60 peratus warga Amerika menerima satu vaksin, Washington beralih untuk merebut semula kepimpinan global dengan mender-makan 500 juta vaksin Pfizer-BioNTech kepada 92 negara berpendapatan sederhana, rendah dan miskin.

Rumah Putih menyifatkannya sebagai ‘tindakan bersejarah yang akan membantu mempercepatkan pembendungan ke atas pandemik’ dan Presiden Joe Biden akan membuat pengumuman rasmi hari ini.

“Ini adalah pembelian dan sumbangan vaksin terbesar oleh sebuah negara dan komitmen penduduk Amerika untuk membantu melindungi orang ramai di seluruh dunia daripada COVID-19.”

Biden yang akan menghadiri sidang kemuncak G7 di Britain minggu ini juga akan menyeru ‘demokrasi dunia’ untuk menyumbangkan lebih banyak bekalan vaksin.

Sumbangan besar Amerika itu akan disalurkan menerusi Program Covax, yang dihasratkan untuk memastikan pengagihan vaksin sama rata di seluruh dunia.

Rumah Putih berkata dos-dos berkenaan akan mula dihantar pada Ogos, dengan 200 juta dihantar menjelang tahun ini dan selebihnya 300 juta pada separuh pertama tahun 2022. – AFP