AS sumbang AS$55 juta kepada Thailand

BANGKOK, 10 OGOS – Amerika Syarikat (AS) menyumbang AS$55 juta kepada Thailand, dengan AS$50 kebanyakannya di-peruntukkan untuk bantuan kemanusiaan kepada lebih 700,000 pelarian dan mereka yang hilang tempat tinggal dari Myanmar.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Linda Thomas-Greenfield mengumumkan bantuan kerajaan AS akan disalurkan terus menerusi rakan kongsi pertubuhan antarabangsa serta badan bukan kerajaan.

Sumbangan itu bertujuan memberikan bantuan makanan kecemasan, tempat perlindungan, penjagaan kesihatan, air, sanitasi serta perkhidmatan kebersihan lain kepada mereka yang terjejas dari Myanmar.

Selain itu, katanya, AS memperuntukkan AS$5 juta untuk bantuan COVID-19 kepada Thailand bagi menyediakan sokongan kepada petugas penjagaan kesihatan menguruskan vaksin serta mengukuhkan kemampuan sistem kesihatan negara itu bagi mencegah, mengesan dan melakukan tindak balas terhadap ancaman wabak itu.

“Kami tahu Thailand terpaksa menggalas beban tambahan, termasuk terpaksa menyediakan bantuan kemanusiaan akibat daripada krisis di Burma.

“Jadi hari ini, saya mengumumkan kerajaan AS menyediakan bantuan AS$55 juta, majoritinya adalah untuk usaha bantuan kemanusiaan. Kami juga menyediakan bantuan bagi menyokong pasukan tindak balas wabak bagi meringankan bebanan sistem kesihatan Thailand,” katanya

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Vaksinasi Hospital Med Park, di Bangkok, hari ini. – Bernama

Seorang wanita bersedia menerima satu dos vaksin COVID-19 AstraZeneca di sebuah sekolah di Pattani, kelmarin. – AFP