AS tahan tiga penyelidik China

WASHINGTON, 24 JULAI – Pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat (AS) menahan tiga penyelidik China kerana enggan mendedahkan kaitan mereka dengan tentera China, dan individu keempat menjadi orang buruan yang kini berlindung di konsulat di San Francisco, lapor agensi berita Sputnik, memetik kenyataan Jabatan Kehakiman semalam.

“Empat individu baru-baru ini dituduh melakukan penipuan visa berkaitan dengan rancangan menipu status mereka sebagai anggota  tentera Republik Rakyat China, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), sebaliknya menjalankan penyelidikan ketika berada di AS,” kata kenyataan itu.

“Tiga daripada individu ini ditangkap dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang mencari individu keempat yang merupakan orang buruan, kini berlindung di Konsulat China di San Francisco.”

Kenyataan itu berkata FBI telah melakukan temu bual dengan pemegang visa lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan tentera China, di lebih 25 bandar di AS. – Bernama