AS tambah 500 juta vaksin untuk dunia

WASHINGTON, 22 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengumumkan rancangan negara itu untuk menyumbang tambahan 500 juta vaksin Pfizer-BioNTech kepada seluruh dunia, menjadikan komitmen keseluruhan berjumlah 1.1 bilion.

Biden akan memaklumkan perkara itu pada sidang maya menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), di mana beliau akan mencabar pemimpin dunia untuk memvaksin 70 peratus penduduk di setiap negara menjelang September 2022.

Seorang pegawai pengurusan kanan berkata sumbangan itu dibuat ‘secara percuma tanpa syarat’.

“Untuk setiap satu suntikan yang sudah diberikan di negara ini sehingga sekarang, kami sumbangkan tiga suntikan kepada negara lain,” katanya.

Dalam ucapan sulungnya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Presiden AS semalam, Biden berkata AS memperuntukkan lebih AS$15 bilion untuk tindak balas COVID-19 global, dan menghantar lebih 160 juta dos vaksin ke pelbagai negara.

AS dan beberapa negara kaya lain dikritik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) susulan perancangan mereka untuk melancarkan pemberian suntikan penggalak kepada warga emas dan kumpulan berisiko tinggi, ketika kebanyakan negara dunia masih berdepan kekurangan bekalan vaksin. Bagaimanapun, pegawai pengurusan kanan AS itu berkata, negara itu membuktikan mereka masih boleh menjaga diri di samping membantu negara lain.

Biden menjemput ketua negara, pemimpin pertubuhan antarabangsa, dermawan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghadiri sidang maya itu.

“Presiden AS akan menggesa pemimpin dunia untuk meningkatkan sasaran global untuk mengakhiri pandemik COVID-19 pada 2022, dan membina semula sekuriti kesihatan yang lebih baik bagi mengelak dan bersedia menghadapi pandemik masa depan,” kata seorang lagi pegawai AS. – AFP

Presiden AS Joe Biden menyampaikan ucapan pada Sesi Perhimpunan Agung PBB ke-76 di New York pada 21 September 2021. – AFP