AS tangguh penerbangan ke Israel

BAITULMAQDIS, 13 MEI – American Airlines, United Airlines dan Delta Air Lines telah menghentikan penerbangan ke Israel tatkala meningkatnya keganasan dalam konflik antara Israel dan Palestin.

Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza dan pejuang Palestin menembak balas roket ke Israel, termasuk lapangan terbang utama di Tel Aviv. United Airlines membatalkan penerbangan dari Chicago, Newark dan San Francisco hingga Sabtu ini. Jurucakap berkata, United akan membenarkan pelanggan yang menempah penerbangan Tel Aviv hingga 25 Mei mengubah jadual perjalanan mereka tanpa membayar tambahan tambang yang lebih tinggi.

American Airlines membatalkan penerbangan hariannya dari New York ke Tel Aviv pada hari Rabu dan Khamis dan menawarkan untuk meletakkan penumpang dalam penerbangan di kemudian hari, menurut jurucakap syarikat penerbangan. Delta membatalkan penerbangan dari New York ke Tel Aviv hingga hari ini. Wakil syarikat mengatakan syarikat penerbangan akan terus memantau keadaan dan memastikan bila ianya selamat untuk penerbangan. – AP