AS tangguh tarif baharu ke atas elektronik China

WASHINGTON, 14 OGOS – Peruncit-peruncit Amerika Syarikat dan pasaran kewangan global mendapat hadiah Krismas awal kelmarin ketika pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan ia menangguhkan tarif ke atas barangan elektronik utama pengguna yang diimport dari China.

Dan berita yang para pegawai perdagangan tertinggi AS dan China bincangkan dalam telefon awal kelmarin itu menawarkan tanda-tanda selanjutnya perang perdagangan semakin mereda yang telah meningkat beberapa minggu kebelakangan ini.

Trump berkata perbualan itu ‘sangat produktif’ dan berkata dia bersetuju untuk menangguhkan tarif yang dikenakan ke atas beberapa barangan untuk melindungi para pengguna yang sedang dalam musim bercuti beli-belah – malah terus mendesak yang warga Amerika tidak akan membayar tarif tersebut.

Selepas dua hari merosot, pasaran saham global mula meningkat, terutamanya pembuat elektronik seperti Apple, di tengah-tengah pandangan mungkin adanya persetujuan yang akan menghalang kebimbangan kepada ekonomi dunia yang sudah pun menunjukkan tanda-tanda tegang.

Pusingan terbaharu tarif AS$300 bilion atas barangan China, dijangka akan berkuat kuasa pada 1 September, bermaksud semua import China masuk ke AS akan tertakluk kepada duti tambahan.

Pengumuman tarif 1 Ogos Trump mencetuskan bantahan kuat daripada peruncit ketika mereka bersedia untuk musim cuti beli-belah.

Namun pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) berkata kelmarin, ia menangguhkan sehingga 15 Disember bagi pengenaan tarif baharu 10 peratus ke atas telefon buatan China, komputer riba, monitor komputer, konsol permainan video, beberapa alat mainan, kasut dan kelengkapan pakaian. – AFP