LOS ANGELES, 19 Julai – Jurulatih AS, Bruce Arena akan melihat alternatif pemain lama ketika pasukannya berusaha untuk menempah tempat bagi separuh akhir Piala Emas CONCACAF dengan kemenangan ke atas El Salvador esok pagi.
Setelah mara ke pusingan kalah mati melalui perbezaan jaringan, AS telah mengambil manfaat sepenuhnya undang-undang kejohanan yang membolehkan pasukan-pasukan untuk membuat enam perubahan dalam skuad selepas peringkat kumpulan.
Arena telah menggunakan peraturan itu untuk membawa masuk empat pemain dengan masing-masing mempunyai lebih daripada 100 kap, Jozy Altidore, Clint Dempsey, Michael Bradley dan Tim Howard.
Dengan pemain tengah menyerang, Darlington Nagbe juga dibawa masuk, serta penjaga gol, Jesse Gonzalez, skuad AS kembali menjadi pasukan yang biasa dilihat berbanding kesebelasan yang berdepan Panama, Martinique dan Nicaragua dalam peringkat kumpulan.
“Para pemain yang kami bawa masuk memberikan kami lebih banyak pengalaman, jadi saya fikir ia adalah gabungan yang baik dengan kumpulan pemain yang kami sudah sedia ada,” kata Arena.

“Bermain di peringkat kumpulan adalah peluang bagi sebahagian besar pemain untuk merebut peluang. Kini kami memasuki peringkat kalah mati kejohanan, kami perlu lebih bersedia untuk bermain setiap perlawanan, menang dan mara, kalah dan pulang, jadi kami membawa masuk pemain yang lebih berpengalaman, lebih berkualiti, dan ia akan menjadikan kami pasukan yang lebih baik,” tambahnya.
AS hanya mengalami satu kekalahan di tangan El Salvador dalam sejarah pasukan, satu-satunya kekalahan terjadi 25 tahun lalu pada bulan Februari 1992.
Ganjaran bagi kemenangan hari ini adalah perlawanan separuh akhir menentang sama ada Costa Rica atau Panama. Costa Rica dan Panama juga akan bertembung dalam peringkat lapan terakhir esok pagi. – AFP