AS tawar AS$10 juta kesan penggodam Darkside

WASHINGTON, 5 NOV – Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$10 juta kepada mana-mana individu yang berjaya mengesan pemimpin kumpulan penggodam Darkside, langkah terbaharu pihak berkuasa dalam memerangi serangan pemerasan siber.

Washington menyalahkan kumpulan berpangkalan di Rusia bagi serangan dalam talian yang memaksa penutupan saluran paip minyak terbesar di timur AS pada Mei lalu.

Pemerasan siber membabitkan pencerobohan ke dalam rangkaian syarikat atau institusi dengan menyulitkan data dan kemudiannya menuntut wang tebusan, biasanya dibayar melalui mata wang kripto sebagai pertukaran.

“Dalam menawarkan ganjaran ini, Amerika Syarikat menunjukkan komitmennya untuk melindungi mangsa perisian tebusan di seluruh dunia daripada eksploitasi oleh penjenayah siber,” menurut kenyataan Jabatan Negara AS.

Washington juga menawarkan hadiah AS$5 juta untuk maklumat yang membawa kepada penahanan atau sabitan di mana-mana negara individu yang cuba menyertai serangan dengan DarkSide.

Jenayah siber berkembang pesat, dengan data baharu dikeluarkan pada Oktober menunjukkan pembayaran berkaitan perisian tebusan berjumlah AS$590 juta dilaporkan kepada pihak berkuasa AS pada separuh pertama tahun ini.

Menurut Perbendaharaan AS, jumlah itu juga 42 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan institusi kewangan sepanjang 2020 dan berkemungkinan ia membabitkan kos berbilion dolar.

Selain berdepan tekanan membayar tebusan, syarikat dan institusi juga berusaha mengelakkan kemarahan pelanggan dan pihak berkuasa yang memberi amaran supaya tidak menyerahkan wang tunai kepada kumpulan itu. – AFP